Wednesday, August 26, 2009

JIM sasar bantu 60,000 orang

KUALA LUMPUR 25 Ogos – Sebanyak 60,000 orang dari 14 negara dikenal pasti untuk menerima bantuan bernilai RM300,000 menerusi Program Rayuan Ramadan Jamaah Islah Malaysia (JIM) tahun ini.

Timbalan Pengarah Program Rayuan Ramadan JIM, Wan Mohd. Zukri Che Mat Zin berkata, program tersebut merupakan usaha berterusan untuk membantu golongan fakir miskin, ditindas, ditimpa musibah serta dipinggirkan.

Beliau berkata, hasil sumbangan rakyat Malaysia melalui program sama tahun lepas, JIM telah berjaya mengagihkan sumbangan kepada lebih 40,000 penerima di seluruh dunia.

Katanya, mereka yang bakal menerima sumbangan kali ini ialah dari Palestin, Mindanao, Indonesia, Rohingya, Vietnam, Kemboja, selatan Thai, Sri Lanka, Sudan, Afghanistan, Bangladesh, Iraq dan Turkestan Timur.

‘‘Walaupun secara umumnya, setiap orang hanya menerima bantuan RM5 tetapi kalau di negara-negara Arab, ia sudah cukup untuk mereka membeli sebuku roti,’’ katanya pada sidang akhbar sempena pelancaran Program Rayuan Ramadan 1430 Hijrah di sini, semalam.

Beliau berkata, sumbangan itu akan diagihkan melalui dua institusi iaitu Hidayah Centre yang merupakan pusat sokongan saudara baru dan pusat bimbingan remaja puteri yang dikenali Raudhatus Sakinah.

Wan Mohd. Zukri menjelaskan, semua sumbangan akan disalurkan melalui wakil JIM di negara terlibat.

Katanya, mereka yang berminat boleh menyalurkan bantuan melalui akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), nombor akaun 1211-3010-00597 atau Bank Muamalat Malaysia Berhad, nombor akaun 1403-0000-391 713.

Sumbangan juga boleh dibuat dengan melayari laman web di www.jim.org.my/e-bazaar. 

Sebarang pertanyaan, hubungi Sekretariat Program Rayuan Ramadan di 03-4108 9669 dan 03-4105 3159 atau emelkan ke ramadhan-qurban@jim.org.my.

Ulasan: Bersama-sama kita meringankan penderitaan saudara kita di negara lain.

No comments: