GEORGETOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng meminta Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi menarik balik kenyataannya yang menamakan Jemaah Islah Malaysia (JIM) sebagai pertubuhan 'ekstremis agama'.
Katanya jika Ooi ada mengeluarkan kenyataan yang menggambarkan JIM sebagai sebuah pertubuhan ekstremis agama, beliau berpendapat Ooi perlu meminta maaf, namun menurutnya bagi kerajaan negeri pula ia tidak pernah menganggap pertubuhan itu sebagai ekstremis.
Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, Lim berkata, beliau bagaimanapun menyerahkan perkara itu untuk ditangani Ooi sendiri, yang kini berada di luar negara.
Ooi yang juga ketua staf di Pejabat Ketua Menteri dilaporkan berkata ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohd Razali Abdullah adalah ekstremis agama kerana beliau dikaitkan dengan JIM.
Ooi juga dilaporkan berkata MPPP tidak seharusnya membenarkan seorang "ekstremis agama" berada di dalam pentadbirannya dan kerajaan negeri dilihat mewujudkan teladan yang berbahaya apabila membenarkan seorang ekstremis agama menyusup masuk ke dalam sistem kerajaan tempatan.
Terdahulu, wakil Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang, Khairil Annuar Kamarudin menghantar satu memorandum yang menggesa Lim meminta Ooi mohon maaf terhadap kenyataannya itu.
"Kami mungkin akan membuat laporan polis atau mengambil tindakan undang-undang terhadap Ooi sekiranya dia masih enggan memohon maaf," katanya.
Semalam Forum Penyelarasan Umat Pulau Pinang (Forum) turut menggesa Ooi memohon maaf kepada umat Islam dan meletak jawatan sebagai ketua staf pejabat Ketua Menteri kerana mengeluarkan kenyataan yang dianggap menghina Islam. - Bernama
Ulasan: Cakap malam dengar-dengar, cakap siang pandang-pandang. Biar kurang makan tapi jangan kurang ajar. Jangan terlepas cakap. Nabi kita s.a.w. telah berpesan : “Sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah ia berkata yang baik atau berdiam diri saja.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
No comments:
Post a Comment