Wednesday, August 19, 2009

Harta Kerajaan bukan Harta UMNO

MASIH ramai rakyat yang masih keliru dengan penggunaan harta dan jentera kerajaan untuk urusan parti politik.

Mungkin kerana Negara kita telah begitu lama diperintah oleh satu parti politik sahaja sejak kita merdeka lebih 50 tahun dahulu menyebabkan hal ini telah menjadi amalan biasa yang tidak perlu dipertikaikan.

Selama ini parti BN boleh dikatakan selalu menang majoriti lebih dua pertiga dalam setiap pilihanraya. Malah pernah mencecah lebih 90 penguasaannya dalam dewan parlimen.

Harta kerajaan adalah merupakan harta rakyat, agak munasabah kalau di masa 90% rakyat mengundi dan menyokong UMNO, tidak mengapa kalau UMNO dan BN menggunakan harta kerajaan dalam urusan parti. Tetapi ini masih juga boleh dianggap sebagai tidak beretika dalam amalan demokrasi.

Apabila BN dan UMNO tidak dapat mengekalkan kemenangan majoriti dua pertiga lagi dalam pilihanraya 2008, ini bermakna hampir separuh rakyat Negara ini tidak akan bersetuju kalau UMNO dan BN menggunakan harta dan jentera kerajaan dalam urusan parti politik mereka.

UMNO dan BN harus akur dan mesti menerima kenyataan ini. Harta kerajaan adalah dibiayai melalui cukai yang dibayar oleh rakyat dan dari hasil Negara. Manakala urusan mana-mana parti politik harus dibiayai dari duit parti politik itu sendiri. Adalah sangat tidak beretika jika meyalahgunakan wang kerajaan dan jentera kerajaan untuk urusan parti politik.

Seorang menteri kabinet harus tahu membezakan kerja jabatan atau kementeriannya dengan kerja –kerja kepartiannya. Mesyuarat dalam jabatannya tidak sama dengan mesyuarat untuk partinya.

Menteri yang pergi melawat sekolah, bermesyuarat dengan pengetua-pengetua sekolah tidak sama dengan pergi merasmikan mesyuarat diperingkat cawangan parti atau peringkat bahagian parti. Satu berkaitan dengan hal jabatannya dan satu lagi berkaitan dengan urusan partinya.

Memang dia layak untuk menggunakan harta kerajaan dan jentera kerajaan bagi urusan kementerian atau jabatannya, tetapi adalah salah kalau dia juga menggunakan harta kerajaan dan jentera kerajaan untuk urusan partinya.

Kalau rakyat biasa tidak dapat memahami hal ini kita boleh maafkan, tetapi kalau seorang menteri sendiri pun tidak faham, amatlah kita kesalkan.

Datuk Nik Aziz MB Kelantan sentiasa membawa bersama-samanya dua batang pen. Satu batang pen dibiayai dari wang kerajaan dan satu lagi dibeli dengan wang sendiri. Pen dari wang kerajaan digunakan untuk menulis bagi urusan pejabatnya manakala bagi urusan peribadi dan lain-lainnya menggunakan pen yang lagi satu.

Sering juga kita lihat menteri-menteri yang pergi merasmikan mesyuarat parti politik mereka di waktu pejabat sedangkan mereka tidak mengambil cuti. Sedangkan gaji mereka adalah dibayar dari duit rakyat, lainlah kalau gaji mereka dibayar dari wang parti mereka.

Harus diingat, hasil negara ini dan cukai dari rakyat bukanlah milik parti UMNO atau BN, kerana bukan semua 100% rakyat negara ini adalah ahli atau penyokong parti BN. Kita bukan negara komunis yang hanya ada satu parti saja.

Patriotik itu juga termasuk tidak menyalahgunakan harta kerajaan.
Pengkhianat itu pula termasuk orang yang membalun wang Negara.

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan.

Dari: chendering.blogspot.com/.../harta-kerajaan-bukan-harta-umno.html

Ulasan: Marilah merdekakan negara dari penjajahan BN/UMNO. Rakyat perlu memilih parti yang lain selain parti BN dalam sebarang pilihan raya mulai sekarang. Kemuncaknya ialah rakyat akan memilih parti selain parti BN dalam pilihan raya umum ke 13 yang akan datang. Rakyat mesti berani mencuba parti lain untuk memimpin Malaysia Baru.

Rakyat tidak dilahirkan ke dunia untuk menyokong BN sampai mati. Biarlah sokongan kita berprinsip untuk menjadikan negara kita telus, bebas dan adil.

No comments: