Monday, March 29, 2010

Palestin tetap enggan terus rundingan dengan Israel

SIRTE 28 Mac - Presiden Palestin, Mahmud Abbas mengulangi pendiriannya menolak rundingan damai tidak langsung dengan Israel anjuran Amerika Syarikat (AS) selagi rejim Zionis itu tidak menghentikan kegiatan pembinaan perumahan haram Yahudi di wilayah Palestin.

Beliau mengulangi pendirian tersebut ketika para pemimpin Arab menghadiri sidang kemuncak mereka di bandar Mediterranean ini di Libya bagi merapatkan barisan berhubung Baitulmaqdis.

Sidang itu juga membincangkan hubungan dengan Iran, termasuk cadangan untuk mengadakan dialog dengan Teheran.

Abbas dalam ucapan pada pembukaan sidang dua hari itu melahirkan kebimbangan bahawa proses damai Asia Barat kini dalam bahaya dan beliau menggesa para pemimpin Arab yang lain supaya bertindak untuk 'menyelamatkan' Baitulmaqdis.

"Kami tidak boleh menyambung semula rundingan tidak langsung selagi Israel meneruskan dasar penempatan haramnya dan mengekalkan status quo," kata beliau selepas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon berucap untuk meminta sokongan Arab terhadap rundingan damai.

Abbas menuduh Israel mahu melenyapkan identiti Arab di Baitulmaqdis menerusi kempen 'pembersihan etnik'.

Beliau sekali lagi menegaskan bahawa Baitulmaqdis Timur yang majoriti penduduknya adalah Arab mesti menjadi ibu negara Palestin pada masa depan.

"Kami selama ini menganggap Baitulmaqdis sebagai permata mahkota dan pintu keamanan," katanya….

Ulasan: Bila Palestin sudah semakin berani bersuara iaitu rundingan hanya apabila negara haram Israel tunduk kepada keadilan.

No comments: