Thursday, March 25, 2010

Judi Sukan Berlesen: PM Dapatkan Pungutan Suara Rakyat?

Judi Sukan Berlesen: Kalau PM Bermaruah..  

KUALA LUMPUR, 25 Mac: Sebelum membenarkan perjudian sukan berlesen di Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dicabar mendapatkan pungutan suara rakyat di peringkat nasional.

Beliau dicabar berbuat demikian kerana kesediaan beliau mempertimbang proposal tersebut sempena musim bola sepak Piala Dunia tidak lama lagi, seperti yang dilaporkan akhbar The Star kelmarin.

“Kalau (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak betul-betul pemimpin Umno yang bermaruah (dalam) memperjuangkan kononnya pejuang Melayu-Islam, Pakatan Rakyat mahu beliau dapatkan pungutan suara nasional sebelum menghalalkan perjudian sukan berdaftar di Malaysia,” tegas Dr. Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen Kuala Selangor.

Dzulkifli yang juga Pengarah Lajnah Seni dan Budaya PAS Pusat berkata, rakyat khususnya ahli-ahli Umno serta kaum Melayu berhak mengetahui inisiatif terbaru kerajaan kerana amalan perjudian itu membabitkan sensitiviti beragama Islam dan adat resam mereka masing-masing.

Disebabkan itu, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa motif di sebalik pertemuan Najib dengan pihak terbabit, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun, Presiden Kumpulan Berjaya Corp. Bhd. di luar negara supaya masyarakat Melayu-Islam tidak mengetahui inisiatif Najib itu. 

Mewakili PAS, beliau berkata, bukan sahaja Islam mengharamkan amalan judi sama ada berlesen atau haram, malah semua agama sekalipun turut mengharamkan amalat tersebut. Sehubungan itu, beliau menasihatkan Najib dan kerajaan supaya menggalakkan cara hidup yang lebih sihat dengan tidak mengiktiraf amalan judi berlesen di tanah air.

Maka, menurut beliau, tidak salah sekiranya Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke Siew Foke yang mewakili DAP menegaskan bahawa perjudian sukan berlesen tersebut mengakibatkan kebejatan sosial dalam masyarakat, khususnya di kalangan kaum Tiong Hua.

Sebelum pada itu, Loke, Pengerusi DAP Negeri Sembilan menegaskan bahawa inisiatif tersebut mengakibatkan impak sosial yang tinggi dalam masyarakat. “Kita lihat ia (perjudian sukan berlesen) dari segi isu (dan) impak yang akan melanda masyarakat kita, khususnya kaum Tionghua sendiri,” jelas beliau.

Pengalaman melihat sendiri realiti dalam keluarga masyarakat Tionghua, perjudian juga mengakibatkan rakyat terjebak dalam budaya memijam duit riba daripada along.

“Khususnya impak (ke atas) kaum muda Tionghua, itu masalah besar (apabila) ambil (pinjaman) ‘along’ untuk berjudi dan ada keluarga terpaksa jual rumah (atau) jual kereta untuk selamatkan anak-anak mereka,” beliau menambah.

Memetik suatu kenyataan dari akhbar tempatan beberapa hari lalu, Loke turut bertanya, adakah Najib bercadang menjadikan industri judi salah satu injin untuk memperkasa Model Ekonomi Baru (MEB). Beliau mempersoal demikian kerana Najib sendiri mengaku bahawa industri perjudian berkemungkinan akan menjadi salah satu bahagian dalam menangani defisit kewangan melalui MEB.

Bercakap dalam kenyataan yang sama di lobi Parlimen, Ahli Parlimen Machang Saifuddin Nasution pula mempersoal kaedah Najib dan kerajaan untuk menjana pendapatan negara, menggunakan MEB. “Apakah kayu ukur pertimbangan kerajaan ini semata-mata untuk mengurangkan defisit kewangan dan meningkatkan pendapatan melalui cukai judi,” soal beliau.

Tegas beliau, sekiranya Najib bercadang menjana pendapatan negara melalui hasil cukai perjudian, beliau menegaskan bahawa kaedah tersebut tidak munasabah. Beliau turut sependapat dengan Dzulkefly dan Loke, inisiatif Najib tersebut seolah-olah mencerminkan beliau langsung tidak mempertimbang impak berantai seperti kebejatan sosial di kalangan rakyat, ekoran penggalakan industri perjudian berlesen tersebut.

Selasa lalu, akhbar The Star melaporkan Ascot Sports Sendirian Berhad, iaitu satu anak syarikat Kumpulan Berjaya telah diberikan konsesi lesen perjudian sukan berdaftar selama 20 tahun oleh Kementerian Kewangan pada era Tun Dr. Mahathir Mohamed menjadi Perdana Menteri, tahun 2003 yang lalu.

Melalui industri perjudian tersebut, Malaysia sanggup menerima bayaran sebanyak RM25 juta pada setiap tahun. Pun begitu, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri selepas Dr. Mahathir mengetepikan proposal tersebut. (AK)

No comments: