Monday, March 29, 2010

RM900 juta bina prasarana luar bandar tahun ini

PENAMPANG 28 Mac - Sebanyak RM900 juta daripada peruntukan RM18 bilion di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) akan dibelanjakan tahun ini untuk membina prasarana dan mewujudkan peluang aktiviti ekonomi di kawasan luar bandar.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, melalui peruntukan itu, projek atau program yang bersifat menyeluruh akan dilaksanakan.

"Kita akan pastikan projek atau program bukan sahaja meliputi pembangunan prasarana tetapi mewujudkan peluang-peluang ekonomi kepada penduduk luar bandar.

"Ini bagi memberi keseimbangan antara pembangunan prasarana dan ekonomi kerana keduanya sama penting," katanya pada sidang akhbar di Program Juara Rakyat di Kampung Madsiang di sini hari ini.

Katanya, pendekatan tersebut adalah bagi menaik taraf kehidupan rakyat luar bandar supaya tidak terus ketinggalan dalam banyak segi.

Terdahulu ketika berucap, beliau berkata, pembinaan jalan raya sepanjang 700 kilometer (km) seperti yang disasar dalam NKRA pada 2012, kini sudah lebih 50 peratus siap.

Beliau memberitahu, menjelang April ini, sepanjang 472 km jalan raya akan siap dibina di kawasan luar bandar seluruh negara dan selebihnya akan disiapkan mengikut jadual.

Sementara itu, beliau mengumumkan peruntukan serta-merta sebanyak RM3.2 juta khusus untuk membina 80 buah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di daerah ini.

Menurut beliau, pembinaan rumah PPRT itu adalah bagi membantu penduduk miskin di sini yang rata-ratanya tidak mampu memiliki rumah sendiri.

Pada masa sama, kata Mohd. Shafie, pihaknya juga memberikan peruntukan RM100,000 untuk menaik taraf dewan di kampung itu yang ketika ini hanya mempunyai atap dan pentas…

Ulasan: Pastikan RM900 juta benar-benar turun kepada rakyat. Kita harap ahli politik BN/UMNO yang pelbagai peringkat tidak menahan lukah di pergentingan.

No comments: