WASHINGTON 16 Mac - Kutukan keras pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama ke atas Israel minggu lalu mencetuskan 'ribut api' di Kongres dan di kalangan kumpulan pro-Israel yang menyifatkan kritikan ke atas sekutu rapat AS di Asia Barat (iaitu ISRAEL) sebagai 'salah tempat'.
Sejak tercetusnya kontroversi, rasa tidak puas hati penggubal undang-undang berpengaruh dan kumpulan berkepentingan ditujukan terhadap keputusan pentadbiran Obama yang mengutuk Israel secara terbuka terhadap pengumuman perumahan baru Yahudi di timur Baitulmaqdis ketika Naib Presiden Joe Biden mengadakan lawatan Selasa lalu dan secara terbuka menyuarakan kekecewaan beliau Jumaat lalu.
Ketika diplomat kedua-dua negara menyifatkan situasi yang berlaku sebagai satu krisis, kemarahan yang timbul di AS, khususnya dari Capitol Hill, berlaku pada saat-saat sukar pentadbiran yang kini cuba mendapatkan sokongan dari penggubal undang-undang dalam pembaharuan penjagaan kesihatan dan beberapa isu domestik yang lain.
Mereka yang mengkritik maklum balas pentadbiran terhadap Israel menyuarakan kebimbangan ia mungkin mengalihkan tumpuan dan menjejaskan usaha melancarkan semula rundingan damai Israel-Palestin.
"Mungkin lebih baik jika rakan kita di pentadbiran dan beberapa tempat lain di AS mula menumpukan semula usaha proses damai.
"Apa yang ada kini adalah pertelingkahan. Cukuplah pergaduhan keluarga ini dan tiba masanya kita memberi tumpuan pada sasaran utama iaitu pelaksanaan rundingan damai Israel-Palestin," kata bekas calon Presiden yang juga senator dari Parti Republikan, John McCain semalam.
McCain dan senator bebas, Joe Lieberman mendesak pentadbiran meringankan perbalahan dengan Israel kerana ia menggambarkan perpecahan dan kelemahan kepada Iran.
"Hentikan pergeseran keluarga ini. Ia tidak diperlukan kerana memusnahkan kepentingan bersama. Tiba masa untuk merendahkan suara dan mengabaikan masalah keluarga antara AS dan Israel. Ia tidak memberi keuntungan kecuali kepada musuh kita," kata Lieberman.
Sekurang-kurangnya lapan penggubal undang-undang lain menyuarakan kebimbangan sama dan lebih ramai dijangka berbuat demikian selepas Setiausaha Negara, Hillary Clinton memarahi Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berhubung pengumuman pembinaan penempatan tersebut dalam panggilan telefon yang tegang dan memakan masa lama pada Jumaat lalu.
Pegawai-pegawai White House turut mengulangi kritikan dalam rancangan wawancara Ahad lalu.
Ketegangan yang tinggi memaksa wakil khas Obama ke Asia Barat, George Mitchell menangguhkan lawatan ke rantau itu yang mana beliau sepatutnya mengadakan rundingan berasingan dengan pemimpin Israel dan Palestin. - AP
Ulasan: AS, negara berkuasa besar tapi rupa-rupanya kecil kerana masih terus di bawah poket Israel. Antara yang menyebabkan ini berlaku ialah kumpulan pro-Israel yang bergiat terus di berbagai bidang strategik di AS. Bila pula hubungan antara AS dan Israel dianggap sebagai keluarga?
No comments:
Post a Comment