Thursday, March 11, 2010

Wanita kita kurang subur

KUALA LUMPUR 10 Mac - Kadar kesuburan di kalangan wanita Malaysia dijangka turun mendadak pada tahun 2015 iaitu 2.05 kanak-kanak bagi seorang wanita berbanding 2.2 kanak-kanak pada 2007. 

Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Aminah Abdul Rahman berkata, hasil kajian kadar kesuburan di kalangan wanita Malaysia dari 1995 hingga 2007 menunjukkan penurunan setiap tahun yang mengakibatkan penurunan kadar populasi penduduk negara ini.

Hasil kajian itu membuktikan kadar kesuburan pada 1995 yang mencatatkan 3.4 kanak-kanak bagi seorang wanita turun kepada 2.9 pada tahun 2000 dan akhirnya 2.2 pada 2007.

"Wanita Malaysia mengalami penurunan tahap kesuburan setiap tahun dan tahap kesuburan wanita dalam kumpulan umur antara 15 dan 49 tahun merosot dengan pantas, dan ini boleh menjejaskan tahap populasi di negara kita pada masa depan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Forum Konsultatif Siri 3, Kajian Pelan Strategik Kependudukan kedua, di sini hari ini.

Menurut Aminah, punca utama masalah itu adalah sikap mereka yang lebih mengutamakan kerjaya dan terlepas daripada lingkungan umur yang sesuai untuk mendirikan rumahtangga.

Selain itu, terdapat juga golongan wanita mengamalkan trend tidak mahu berkahwin atau lebih berminat kepada gaya hidup bebas tanpa sebarang ikatan, katanya.

Kebanyakan wanita berpendidikan tinggi pula mengalami kesukaran untuk mencari pasangan yang sesuai dengan mereka kerana bilangan lelaki yang melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi semakin berkurangan.

"Terdapat juga wanita berkerjaya yang ingin mendirikan rumahtangga mengalami kesukaran untuk mencari pasangan yang sesuai dengan mereka, dan akibatnya mereka terpaksa berkahwin dengan lelaki yang lebih muda, ataupun lelaki yang lebih rendah taraf hidup daripada mereka," kata Aminah.

Bagi mengatasi masalah ini, LPPKN dengan bantuan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) kini dalam usaha mengadakan beberapa program di seluruh negara untuk menggalakkan pasangan muda berkahwin pada usia yang sesuai.

Katanya, diharapkan menerusi program itu kadar kesuburan dan populasi masyarakat Malaysia akan meningkat pada masa akan datang. – BERNAMA

Ulasan: Hidup meninggalkan agama hanya akan memudaratkan kita. Hidup jadi mulia hanya di dalam ketaatan kepada perintah Allah.

No comments: