SHAH ALAM 16 Mac - Wacana 153 yang diadakan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah menaikkan semangat pelajar-pelajar universiti itu untuk terus mempertahankan Perkara 153 dalam Perlembagaan.
Wacana anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) bersama Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) dengan kerjasama UiTM juga telah memberi kefahaman kepada pelajar-pelajar berkenaan tentang hak-hak orang Melayu yang tercatat dalam Perlembagaan.
Seorang peserta yang ditemui Zamri Zaini,22, berkata, forum membincangkan Artikel 153 itu telah memberi kefahaman jelas kepadanya betapa pentingnya hak-hak tersebut dipertahankan.
Penuntut bidang komunikasi itu berkata, sekiranya perkara tersebut dimansuhkan daripada Perlembagaan, anak-anak Melayu juga akan rugi dan tidak mustahil menjadi pengemis di negara sendiri.
"Kita mempunyai hak untuk mempertahankan keistimewaan orang Melayu dan tiada siapa yang patut mempertikaikan perkara itu,'' katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas menghadiri program tersebut.
Majlis perasmian disempurnakan Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar.
Seorang lagi peserta, Nurul Era Mohammad Othman, 21, memberitahu, sebelum ini dia tidak mengambil tahu mengenai Perkara 153 tetapi tanggapan itu berubah setelah menghadiri wacana tersebut.
"Saya rasa forum seperti ini sepatutnya telah diadakan semenjak sekolah menengah lagi supaya ia lebih berkesan dan memberi pemahaman yang lebih mendalam," jelasnya.
Muhammad Hafiz Mohd. Bakri, 21, pula berpendapat, Perkara 153 adalah warisan nenek moyang yang patut menjadi tanggungjawab orang Melayu tanpa mengira pangkat atau latar belakang untuk mempertahankannya.
"Hak orang Melayu dari zaman dahulu dulu sudah diperakui oleh semua kaum tetapi kenapa kini ia seperti mahu dipertikaikan.
"Apa yang saya harapkan semua orang Melayu sepatutnya bersatu untuk mempertahankan Perkara 153 agar tidak dihapuskan," katanya.
Ulasan: Pertahankan Perkara 153 dengan tidak mengundi BN/UMNO dalam pilihanraya umum yang terdekat kerana selama ini UMNO tidak bertegas mempertahankan Perkara 153 itu. Lebih 50 tahun dapat kuasa memerintah lantas lupakan perjuangan membela bangsa kerana seronok buat kekayaan peribadi tanpa hak.
No comments:
Post a Comment