KUALA LUMPUR 9 Mac - Statistik yang dikeluarkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Reach Org menunjukkan sehingga kini jumlah golongan merempat di ibu negara ini telah mencecah sehingga 2,500 orang.
Sehubungan itu, Pergerakan Pemuda UMNO melalui Sekretariat Hal Ehwal Bandar (SHEB) bergabung dengan NGO berkenaan untuk membantu golongan tersebut sekali gus menurunkan kadar kemiskinan bandar.
Pengerusi SHEB, Tengku Azman Tengku Zainol Abidin berkata, program 'Food For Life' dan 'Medical On Wheel' yang dilancarkan hari ini merupakan salah satu mekanisme untuk membantu golongan berkenaan.
"Program ini bukan sekadar memberi kebajikan tetapi untuk mengenal secara lebih dekat dan membantu mereka keluar dari kelompok golongan merempat.
"Antara bantuan lain adalah mencarikan mereka pekerjaan, memberi didikan dan menghantar mereka pulang ke kampung masing-masing,'' jelasnya.
Tengku Azman berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program Food For Life di perkarangan Masjid India, di sini hari ini.
Sementara itu, beliau menyaran golongan ibu bapa sentiasa memantau aktiviti anak mereka supaya tidak terjebak dengan masalah sosial yang semakin meningkat.
Jelasnya, banyak anasir luar yang cuba merosakkan akidah golongan remaja berbilang bangsa di negara ini secara terancang.
Sehubungan itu, katanya, SHEB turut bercadang untuk bekerjasama dengan agensi berkaitan agama bagi memerangi masalah sosial.
''Kita tidak mahu golongan remaja kita terlibat dengan masalah sosial seperti penyalahgunaan dadah, ajaran sesat dan sebagainya,'' jelasnya.
Dalam pada itu, Presiden Reach Org, Peter Nicoll memberitahu, daripada statistik yang dikeluarkan, hanya lima peratus datangnya dari golongan bermasalah iaitu penagih dadah, kaki botol dan terlibat dengan masalah sosial.
"Persepsi masyarakat terhadap golongan itu sebagai golongan yang bermasalah adalah tidak benar.
"Golongan ini tidak memerlukan simpati sebaliknya memerlukan sokongan orang ramai sebagai inspirasi dan itulah yang kami cuba lakukan,'' katanya.
Menurut Nicoll, NGO berkenaan sudah beroperasi selama dua tahun membantu golongan berkenaan.
''Kita mendapati seramai 500 orang daripada jumlah itu terdiri daripada golongan merempat tegar,'' katanya.
Jelasnya, hasil daripada bergaul dengan golongan itu selama empat hari dalam seminggu, mereka berjaya membantu seramai 40 hingga 60 orang keluar dari kelompok itu setiap minggu.
Tambahnya, pada masa sama, seramai 20 orang baru akan masuk ke dalam kelompok itu bagi tempoh sama.
Ulasan: Mari kita membantu...
No comments:
Post a Comment