editjohor@utusangroup.com.my
JOHOR BAHRU 12 Julai – Sejak ribuan tahun dahulu sungai menjadi tumpuan manusia sebagai tempat untuk mencari rezeki, pengangkutan dan sumber air bagi menampung kehidupan sehinggakan banyak tamadun dunia yang didirikan di tepi sungai.
Antaranya, Taman Tergantung Babylon yang dibina semasa zaman tamadun Mesopotamia di Iraq dan Kota Pemerintahan Firaun yang terletak berhampiran Sungai Nil yang juga sungai terpanjang di dunia.
Malah, Kerajaan Agraria iaitu kerajaan yang berasaskan pertanian juga berkembang ekoran lokasinya di lembah sungai.
Benar, seperti kata bijak pandai bahawa sungai merupakan khazanah alam yang tidak terhingga nilainya. Semakin ia diterokai, semakin banyak ‘keajaiban’ yang tidak mampu diketahui.
Namun, seiring dengan perkembangan teknologi terkini yang semakin pesat membawa manusia ke era maklumat dihujung jari, sungai semakin dipandang lesu.
Jika dahulu ia dijadikan tempat riadah, tetapi kini bertukar menjadi tempat pembuangan sampah seolah-olah era kegemilangan sungai sudah sampai ke titik noktahnya.
Tiada lagi kejernihan air sungai yang mengalir sehingga dasarnya juga mampu dilihat dan ikan berenang ke sana ke mari kerana yang tinggal kini hanyalah sungai yang dipenuhi sampah-sarap dan air yang menjadi hitam dek pembuangan sisa kilang.
Bukan sebatang sungai yang menjadi mangsa kekejaman ‘tangan-tangan rakus’ manusia ini, malah boleh dikatakan setiap negeri mempunyai ceritanya sendiri.
Sungai Tebrau, berhampiran Kampung Bakar Batu, di sini juga menerima nasib yang sama apabila semakin banyak pencemaran berlaku.
Ketika dibawa menyusuri sepanjang sungai itu oleh Pengerusi Kelab Nelayan Bakar Batu, Salleh Ibrahim baru-baru ini, penulis menyaksikan timbunan sampah-sarap berselerak di tebing kiri dan kanannya.
Akar pokok bakau yang tumbuh di tepinya dipenuhi ‘hiasan’ plastik berwarna warni.
Hampir sejam dibawa menyusuri setiap pelosok sungai yang dahulunya mempunyai banyak hidupan marin, pelbagai jenis sampah boleh dilihat ‘bergelimpangan’ di sana sini.
Antaranya, perabot usang, kain buruk, plastik, botol minuman, pembungkus makanan, kayu-kayan dan sisa makanan dan kumbahan.
Malah, sewaktu leka ‘membilang’ pelbagai jenis sampah yang mendiami sungai itu, enjin bot yang membawa penulis dan jurugambar tiba-tiba mati.
Pak Salleh terpaksa menggunakan dayung untuk mengerakkan bot itu ke tepi tebing.
Nah, rupa-rupanya, enjin bot tersangkut pada kain buruk yang dibuang ke dalam sungai tersebut. Pak Salleh mengambil masa selama 30 minit untuk membuang lilitan kain itu.
Dalam tempoh berkenaan juga, sebuah lori kecil yang sarat membawa muatan kelihatan membuang sampah ke dalam sungai itu.
Ulasan: Peliharalah alam sekitar untuk di wariskan kepada generasi mendatang.
No comments:
Post a Comment