Friday, July 31, 2009

Usah biar firma asing kuasai saham Bernas

bhnews@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak termasuk ahli politik, tokoh akademik dan badan bukan kerajaan (NGO) mahu kerajaan segera campur tangan untuk mengelak syarikat strategik pembekalan beras negara, Padiberas Nasional Berhad (Bernas), dikuasai firma asing. 

Sambil menyuarakan kebimbangan berhubung penguasaan 31 peratus saham Bernas oleh firma pelaburan berpangkalan di Hong Kong, Wang Tak Co Ltd, Prof Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid menegaskan kerajaan perlu memandang serius dan menyatakan pendiriannya berhubung isu itu. 

"Ia bukan saja soal saham yang dijual kepada firma asing, tetapi lebih daripada itu kerana membabitkan keselamatan makanan dalam negara, orang Melayu dan rakyat yang semuanya makan nasi. 

"Bernas harus dimiliki negara, seharusnya saham milik Bernas ini dimiliki kerajaan atau Bumiputera. Saya hairan bagaimana saham ini boleh dibeli firma dari Hong Kong," katanya ketika dihubungi di sini, semalam. 

Beliau mengulas pendedahan Berita Harian mengenai kemerosotan penguasaan pelabur tempatan dalam saham Bernas yang ditubuhkan pada 1994 berikutan pengkorporatan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN). 

Berdasarkan pengumuman urus niaga pemegang saham utama Bernas di Bursa Malaysia, Isnin lalu, Wang Tak kini muncul sebagai pemegang saham tunggal terbesar Bernas apabila menguasai 147.51 juta saham atau 31.36 peratus daripada keseluruhan 40.402 juta saham syarikat itu. 
 
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang menganggap pendedahan itu sebagai serius, meminta kerajaan bertindak cepat untuk memastikan saham berkenaan dibeli balik, selain melakukan pemantauan rapi terhadap syarikat strategik lain. 

"Saya nak tanya kenapa tiada sesiapa yang kesan pembelian saham ini lebih awal. Walaupun dibeli di pasaran terbuka, maklumat ini boleh didapati melalui Bursa Malaysia, malah sesiapa yang beli lebih daripada lima peratus ekuiti mesti mengisytiharkannya pada Bursa Malaysia. 

"Malah, perlu dipersoalkan juga sama ada pembelian saham ini disebabkan penjualan oleh pemegang saham utama," katanya. 

Ahli Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN), Datuk Dr Zainal Aznam Mohd Yusof, pula mahu motif sebenar syarikat terbabit membeli 31 peratus pegangan saham dalam Bernas diperjelaskan. 

"Kita perlu tahu tujuan sebenar syarikat terbabit melabur dalam Bernas. Apakah ia sekadar untuk mencari keuntungan atau berhasrat untuk campur tangan dan menguasai syarikat itu. 

"Ini kerana sebelum ini 100 peratus saham Bernas dikuasai Bumiputera dan Bernas adalah syarikat yang penting berkaitan padi dan kini ia sudah mengurangkan pegangan saham Bumiputera," katanya. 

Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik juga mempersoalkan mengapa hak pemilikan komoditi penting negara, seperti makanan, dibiarkan dikuasai orang luar. 

"Kita perlu ingat beras adalah makanan asasi rakyat Malaysia dan apabila kita membuka pasaran saham terlalu luas kepada orang luar tanpa kita sedari secara diam-diam mereka mendapat pegangan yang besar. Dari segi 31 peratus itu ia sudah boleh dikira sebagai menguasai sesuatu syarikat. 

"Jika ada unsur luar menguasai saham kita pada jumlah yang besar, kita bimbang ia akan dimonopoli pada saat genting dan kerana itu kepentingan rakyat perlu dijaga," katanya. 

Abdul Rahim berkata, Gabem akan menulis surat bagi meminta kerajaan bertindak segera dalam usaha mengembalikan saham berkenaan. 

"Walaupun kerajaan boleh mengawal, tetapi rakyat tidak dapat menerima keadaan ini di mana saham syarikat strategik negara berada di tangan orang luar," katanya. 

Pengerusi Eksekutif Yayasan Kajian dan Strategik Melayu, Datuk Dr Mohd Radzi Abdul Latif pula meminta kerajaan mengkaji semula perjanjian konsesi yang dimeterai Bernas dengan Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri sebagai pembekal dan pengimport tunggal beras negara. 

"Perlu dipastikan sama ada pihak yang menandatangani perjanjian itu termasuk pemegang saham utama Bernas mematuhi syarat perjanjian atau melanggarnya. Kita juga perlu teliti sama ada penjualan saham kepada pihak asing dibenarkan atau sebaliknya dan perlukan urus niaga itu mendapat kebenaran kerajaan," katanya.

Ulasan: Apa diharap dari kerajaan BN/UMNO di bawah Najib kini? Orang Melayu sudah lama menangisi hak-haknya yang hilang di negara sendiri setelah sekian lama UMNO menjadi tulang belakang BN. Ada lagi yang di jual kerana laparkan duit asing.? Cukuplah rakyat menderita. Jom sama-sama kita memangkah parti selain dari BN dalam sebarang pilihanraya.

No comments: