Thursday, July 16, 2009

Manoharan minta maaf isu songkok, status bumiputera

KUALA LUMPUR 15 Julai - Berikutan desakan daripada pelbagai pihak, M. Manoharan hari ini meminta maaf berhubung kenyataannya yang mempertikaikan pemakaian songkok dan mahukan bukan Melayu diberikan status bumiputera.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah dari DAP itu memohon maaf sekiranya kenyataan peribadinya itu telah mengecilkan hati atau mengguris perasaan mana-mana pihak.

''Saya sesungguhnya tidak mempunyai apa-apa niat terselindung dan ingin saya tegaskan di sini bahawa saya tidak pernah pada bila-bila masa menyoal hak-hak orang Melayu seperti yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

''Saya juga amat menghormati baju kebangsaan kita termasuk songkok," katanya dalam sepucuk surat yang diserahkan kepada Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di Ibu Pejabat GPMS di sini hari ini.

Manoharan ketika muncul buat kali pertama pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada 8 Julai lalu selepas dibebaskan daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Mei lalu menyatakan kurang senangnya melihat Speaker DUN itu dari parti DAP, Teng Chang Khim memakai songkok semasa menjalankan tugasnya.

Manoharan dilaporkan berkata, beliau tidak berapa gembira dengan pemakaian songkok kerana orang bukan Melayu tidak diberikan status bumiputera dan masih dilayan sebagai kumpulan berbeza.

Pada sidang akhbar selepas persidangan DUN itu, Manoharan juga didakwa menuntut supaya kerajaan memberikan taraf bumiputera kepada bukan Melayu di negara ini yang lahir selepas 31 Ogos 1957 selaras dengan usaha merealisasikan gagasan 1Malaysia.

Dalam pada itu, Reezal Merican pada sidang akhbar selepas menerima surat itu berkata, permohonan maaf itu adalah susulan kepada laporan polis yang dibuat GPMS terhadap Manoharan pada Ahad lalu ekoran tindakannya mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan keadaan huru-hara dalam negara…

Ulasan: Bila rakyat minoriti mempersoalkan keistimewaan rakyat majoriti itu namanya kurang ajar. Biar kurang makan tapi jangan sekali-kali kurang ajar. Kalau mereka hidup di tempat asal usul mereka, kemungkinan mereka tidak pun di kenal kini. Orang Melayu telah sanggup mengorbankan sesuatu yang sangat berharga bila bersetuju untuk kemerdekaan negara 1957 iaitu dengan memberikan kerakyatan automatik kepada mereka. Mereka? 

No comments: