Thursday, July 16, 2009

NGO kutuk kekejaman Israel

BAITULMAQDIS 15 Julai - Rejim Zionis telah menolak dakwaan Amnesty International, Human Rights Watch dan agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa serangannya ke atas Genting Gaza pada Januari lalu telah menyebabkan kematian orang awam dan kemusnahan pada skala yang tidak terkira.

Sebilangan tentera Israel sendiri mengakui mereka telah diarahkan oleh komander-komander mereka supaya 'menembak dulu dan bimbang kemudian' mengenai kaedah membezakan orang awam dengan pejuang Palestin.

Berikutan arahan seumpama itu, pasukan tentera memasuki Gaza dengan 'melepaskan tembakan bertalu-talu'.

Dalam pengakuan yang diterbitkan secara bertulis dan video oleh kumpulan aktivis Yahudi sendiri Breaking the Silence, seramai 30 tentera menyatakan bahawa pendirian tentera Israel ialah meminimumkan kemalangan di pihak mereka bagi memastikan sokongan rakyat Israel terhadap operasi itu.

''Lebih baik menembak mereka yang tidak bersalah daripada teragak-agak mensasarkan kepada musuh,'' adalah gambaran biasa yang disebut oleh seorang tentera yang dirahsiakan identitinya, berhubung pemahamannya terhadap arahan yang diulang-ulang semasa taklimat sebelum penaklukan dan semasa operasi ketenteraan selama 22 hari dari 27 Disember 2008 hingga 18 Januari 2009.

''Jika awak tidak pasti, bunuh saja. Kami masuk dan bunyi tembakan dan letupan menggila. Pada saat kami tiba di garisan permulaan, kami terus menembak di tempat- tempat disyaki.

''Dalam peperangan di bandar, sesiapa sahaja adalah musuh anda. Tiada yang tidak bersalah,'' katanya.

Operasi ketenteraan Israel didakwa disasarkan untuk memastikan pejuang Hamas menghentikan serangan roket ke kawasan pendudukan haram Yahudi di sempadan Gaza.

Kumpulan hak asasi manusia Palestin mendakwa 1,417 orang terbunuh dengan 926 orang daripada mereka adalah orang awam. Tentera Israel pula meletakkan bilangan lebih rendah iaitu 1,166 orang dan 295 daripada mereka orang awam. Di pihak Zionis, 10 tenteranya dan tiga orang awam Israel terbunuh.

Tentera-tentera Israel ditegah daripada bercakap kepada media. Laporan setebal 112 halaman oleh Breaking the Silence merangkumi pengakuan 30 tentera yang telah berkhidmat di semua sektor dalam operasi tersebut.

''Majoriti daripada mereka masih berkhidmat dalam unit tentera Israel dan menemui kami dengan penuh keresahan terhadap kejatuhan moral IDF (Pasukan Pertahanan Israel).

''Pengakuan tentera berkenaan adalah cukup untuk membawa kepada persoalan kredibiliti versi rasmi IDF, termasuk penggunaan bom fosforus secara berleluasa ke atas orang awam Palestin,'' kata kenyataan itu. – REUTERS

Ulasan: Kezaliman Israel akan terbayar juga hujungnya dengan kekalahannya yang mengaibkan. Teruskan perjuangan untuk memerdekakan Palestin. Merdeka bermula dari dalam diri.

No comments: