Wednesday, July 22, 2009

Sistem Muamalat dan Ekonomi Islam

Oleh WAN JEMIZAN WAN DERAMAN

Sektor perbankan Islam kini makin diminati termasuk oleh yang bukan Islam. - Gambar hiasan 

Islam adalah sebuah agama yang mementingkan keadilan, kebajikan dan tidak menindas umatnya. Jadi, sudah pasti segala sistemnya tidak akan menzalimi sesiapa sama ada dari sistem ekonomi, sosial, politik dan sebagainya. 

Semuanya berlandaskan prinsip-prinsip syariah serta selaras dengan kehendak al-Quran dan sunnah.

Secara amnya, Islam mencakupi tiga skop muamalat manusia yang utama iaitu hubungan dengan Tuhannya, dengan dirinya sendiri dan dengan masyarakatnya. Ini sudah cukup menggambarkan bahawa Islam adalah lengkap dan sempurna.

Alangkah indahnya bagi mereka yang dapat menghayati dan mengamalkan Sistem Islam yang syumul (menyeluruh) sifatnya. Mana tidaknya, daripada sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besarnya termaktub dalam ajaran Islam. 

Di antara cabang dalam Islam itu ialah aspek muamalat. Secara umumnya, konsep muamalat ialah segala aktiviti dan hubungan di antara manusia dengan manusia. 

Konsep muamalat ini amat luas skopnya, memadailah pada artikel ringkas ini mengkhususkan sistem ekonomi Islam sebagai satu skop yang dibincangkan.

Hakikatnya, Sistem Ekonomi Islam terasnya adalah akidah yang kuat kerana dengan akidah inilah, sistem ekonomi Islam dapat terlaksana dengan sempurna dan memaksimumkan manfaatnya. 

Ini kerana pelaksana kepada sistem ekonomi Islam ini sewajarnya mengetahui segala tindakan yang dibuat mestilah selari dengan kehendak Allah, dan akhirnya akan mendapat keredaan daripada-Nya.

Secara umumnya, ekonomi Islam mementingkan perkara-perkara berikut:

1. Semua aktiviti yang dilaksanakan hendaklah bertepatan dengan syariat Allah kerana dengan berpandukan kepadanya kita akan memperolehi keuntungan duniawi dan ukhrawi. 

Usaha ini memerlukan kepada pengetahuan dan pemahaman yang betul berkenaan soal halal dan haram sesuatu aktiviti. Justeru, segala urusan yang dilakukan wajiblah diniatkan semata-mata untuk mendapatkan keredaan-Nya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. (al-An'am: 162)

2. Mementingkan konsep keadilan dan kepentingan sejagat. Perkara ini sangat penting kerana setiap manusia mempunyai hak-hak tertentu yang perlu dipenuhi dengan saksama. 

Tidak kira kaya mahu pun miskin, setiap daripada manusia itu mempunyai haknya yang tersendiri. Jika yang kaya berjaya dalam perniagaannya, dia seharusnya menzakatkan hartanya atau menginfakkan pada orang-orang yang kurang berkemampuan.

Ia selaras dengan maksud firman Allah SWT: (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (SAW) kepada kamu maka terimalah serta amalkan dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya. (al-Hasy: 7)

3. Keikhlasan dalam memperjuangkan sistem ekonomi Islam. Nilai ini mesti bergerak seiring dengan semua aktiviti agar ia akan membuahkan hasil yang cukup cemerlang dan lumayan yang bersesuaian dengan pandangan syariah Islam. Firman-Nya lagi yang bermaksud: Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat dan yang demikian itulah agama yang benar. (al-Bayyinah: 5)

Perkara-perkara inilah yang menjadi asas kepada terbinanya Industri Perbankan Islam dan Takaful di Malaysia. Ia merupakan alternatif kepada sistem konvensional yang ada pada hari ini. 

Kesannya, masyarakat mula sedar dan tertarik dengan sistem muamalah yang berasaskan Islam. Satu ketika dahulu, apabila disebut Bank Islam atau Bank Muamalat, ia adalah sesuatu yang asing.

Namun, hari ini kita melihat semakin banyak syarikat-syarikat takaful dan bank-bank Islam yang tumbuh bak cendawan selepas hujan.

Ia membuktikan bahawa segala usaha yang dimulakan oleh para ulama melalui pembacaan dan penelitian ilmu mereka, diguna dan diaplikasikan pada masa kini. 

Ia sekali gus menjadikan sistem ekonomi atau muamalat Islam bukan suatu perkara yang retorik untuk dipraktikkan malah menjadi ikutan dan pilihan masyarakat pada hari ini. 

Kita dapat lihat kesedaran di kalangan masyarakat Islam semakin meningkat malah orang bukan Islam juga semakin ramai memilih perkhidmatan perbankan dan perlindungan berasaskan Islam tanpa rasa ragu-ragu.

Oleh itu, adalah menjadi kewajipan kepada umat Islam untuk memperjuangkan sistem ekonomi Islam ini sebagai salah satu cabang dalam Muamalat Islam. Ia bukan sekadar membantu golongan yang memerlukan atau meningkatkan taraf hidup umat Islam, malah yang lebih penting, ia adalah sebagai memenuhi tuntutan akidah Islam itu sendiri. 

Jika tidak sebagai penggerak pun, memadailah sebagai penyokong dan pengguna. Namun begitu, adakah kita sanggup melihat sebelah pihak sahaja yang bersungguh-sungguh untuk menggerak dan memartabatkan sistem muamalah dan ekonomi Islam? Sudah pasti tidak. 

Justeru, jadikan diri kita sebagai salah seorang daripada ribuan mahu pun jutaan umat Islam yang memperjuangkan sistem muamalah dan ekonomi yang berasaskan Islam ini.

No comments: