Friday, July 24, 2009

Kompaun RM300 jika guna tayar toreh

SEREMBAN 23 Julai - Kompaun maksimum RM300 akan dikenakan ke atas pemilik kenderaan persendirian yang menggunakan tayar toreh berkuat kuasa 1 November depan.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh berkata, langkah itu bertujuan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya antara 10 dan 15 peratus berpunca daripada tayar rosak.

Beliau turut menasihatkan pemilik kenderaan persendirian menukar tayar toreh kepada tayar yang diluluskan oleh Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) serta mempunyai tanda MS, Dot atau E.

"Ia merupakan langkah terbaru kerajaan dalam usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya berpunca dari penggunaan tayar toreh yang sememangnya berisiko tinggi,'' katanya selepas melawat kilang tayar Sun Tyre Industries Sdn. Bhd. di sini hari ini. 

Mengenai peniaga yang masih menjual tayar toreh selepas 1 November, Suret memberitahu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan pihak polis akan mengambil tindakan.

"Kita yakin dapat mengatasi masalah penggunaan tayar toreh ini dengan kerjasama semua pihak termasuk pengilang, pengedar serta penjual tayar yang akan menghentikan penjualan tayar toreh," kata beliau.

Beliau turut menasihatkan pemilik kenderaan sentiasa menjalankan pemeriksaan terhadap tayar kenderaan dari semasa ke semasa demi keselamatan ketika di jalan raya.

Ulasan: Kenapa penjual tidak di hukum? Penjual sepatutnya menjual hanya produk yang selamat.

No comments: