Wednesday, July 22, 2009

Setuju rokok diharamkan

KANGAR 21 Julai - Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu secara peribadi bersetuju jika kerajaan mewartakan merokok sebagai haram di Malaysia.

Beliau yang tidak merokok menyatakan, persetujuan itu kerana telah terbukti merokok disahkan menjadi salah satu penyebab besar yang boleh membunuh manusia daripada segi faktor kesihatan.

''Secara peribadi saya bersetuju jika rokok diharamkan. Salah satu asasnya kerana merokok boleh menyebabkan pelbagai penyakit berbahaya. Itu baru daripada segi kesihatan.

''Daripada segi agama Islam pula, jika majlis fatwa mendapati merokok haram, ia perlu difatwakan," ujarnya kepada para pemberita selepas merasmikan Forum Hari Tanpa Tembakau Sedunia Peringkat Negeri Perlis di Dewan Warisan di sini hari ini.

Beliau juga bersetuju jika kerajaan mengambil tindakan lebih tegas seperti mengenakan kompaun kepada mereka yang merokok di kawasan awam terutama di tempat yang dikategorikan zon larangan merokok.

Terdahulu dalam ucapannya, Menteri Besar itu turut mengajak masyarakat membenci perbuatan merokok kerana tabiat sedemikian bukan sahaja menjejaskan kesihatan tetapi merugikan daripada segi kewangan perokok sendiri.

''Apabila merokok kita kena banyak membuat bayaran, terutama untuk membeli rokok. Selepas itu bayaran untuk mengubati penyakit yang berpunca daripada merokok.

''Saya setuju benar jika kita semua sentiasa menyertai kempen hari-hari (setiap hari) tanpa tembakau, bukan setakat hari (sehari) tanpa tembakau sahaja seperti yang dibuat sekarang," tegasnya...

Ulasan: Mula tertipu dengan iklan rokok untuk menjadi kononnya dewasa kemudian menipu diri sendiri merosakkan diri dan orang lain. Yang tentu suka bila kita merokok ialah syarikat rokok.

No comments: