PULAU PINANG 12 Julai - Bank Negara Malaysia (BNM) akan membuat rombakan terhadap kadar premium insurans kenderaan bermotor bagi mencari satu kadar yang sesuai dan adil untuk semua pihak.
Pengurus Unit Pengurusan Aduan dan Khidmat Nasihat, Jabatan Komunikasi Korporat BNM, Datin Khalijah Hashim berkata, sekarang adalah masa paling sesuai untuk BNM berbuat demikian kerana polisi yang digunapakai kini berusia lebih 30 tahun.
Menurutnya, ia juga berikutan aduan orang ramai mengenai perkara itu yang semakin hari semakin banyak dan setakat ini perbincangan sedang berjalan antara BNM dan 34 syarikat Insurans Am Malaysia (IAM).
"Kami menyedari dan menerima banyak rungutan tentang kadar premium insurans untuk kenderaan bermotor yang terus naik terutama bayaran penyambungan insurans motosikal pihak ketiga.
''Jangan risau, semuanya akan diambil kira dalam perbincangan ini. BNM sedang cuba membuat satu rombakan yang adil dan sesuai untuk semua pihak," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Perjumpaan Persatuan Pengusaha Pengangkutan Lori Wilayah Utara (PPPLWU) dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan BNM di sini hari ini.
Menurut Khalijah, kadar baru premium insurans itu nanti akan tetap mengambil kira tiga faktor utama iaitu umur kenderaan, umur pemandu dan jumlah tuntutan yang pernah dibuat pemandu.
Katanya, jika risiko semakin tinggi, kadar premium yang dikenakan juga lebih tinggi sedikit daripada kadar biasa.
''Sebagai contoh, jika usia kenderaan lebih 10 tahun dan pemandu yang memohon juga usianya sudah 50 tahun, kadar premium insurans memang lebih tinggi kerana risikonya tinggi dan begitulah sebaliknya.
''Saya tidak dapat menetapkan bila kadar baru ini dapat diumumkan kerana ia masih pada tahap perbincangan," jelasnya.
Sementara itu, Khalijah berkata, bagi mereka yang sukar melakukan penyambungan insurans motosikal bagi pihak ketiga ekoran banyak syarikat insurans enggan berbuat demikian kini boleh mendapatkan perlindungan Malaysian Motor Insurance Pool (MMIP) di cawangan-cawangan Pos Malaysia mulai 10 Julai lalu.
Dalam keadaan pasaran insurans motor mengalami kerugian besar sekarang, katanya, banyak penanggung insurans sama ada enggan mengambil risiko ataupun mengurangkan risiko taja jamin, terutamanya bagi insurans pihak ketiga.
Bagaimanapun, menurut beliau, orang ramai boleh mencari altenatif lain dengan mendapatkan perlindungan insurans daripada MMIP.
''Jangan jadikan satu alasan untuk kita tidak mahu dilindungi insurans kerana ia amat penting terutama apabila berlaku kemalangan.
''Walaupun kadar yang dikenakan MMIP lebih tinggi, namun ini adalah alternatif terbaik kerana banyak syarikat insurans tidak mampu lagi menanggung nisbah tuntutan yang banyak daripada pengguna setiap tahun terutama bagi insurans pihak ketiga," katanya.
Ulasan: Insurans/takaful KOMPREHENSIF untuk kenderaan lama?
Nampaknya macam syarikat takaful/insuran sudah berpakat hebat tidak lagi jual third party insurans/takaful untuk kenderaan. Kerana banyak tuntutan dan tidak menguntungkan. Mereka lebih suka semua kenderaan lama membeli takaful/insuran KOMPREHENSIF yang harganya lebih tinggi.
Waktu tuntutan kecil, semua syarikat sibuk menjualnya. Alasan yang di berikan kini ialah tuntutan banyak lantas menjejaskan pendapatan syarikat. Ye ke?
Tentu ini menyusahkan rakyat. Majoriti rakyat memakai kenderaan lama dengan insuran/takaful third party kerana terbukti lebih menjimatkan. Tetapi syarikat melihat dari sudut lain.
Nampaknya inilah masa untuk memaksa rakyat mengeluarkan wang yang lebih banyak untuk membeli takaful/insuran komprehensif untuk kebarangkalian berlakunya accidents. Mungkin syarikat insuran/takaful lupa bahawa bagi kebanyakan kenderaan hampir-hampir yang tidak pernah berlaku accidents pun. Nampaknya syarikat besar pun sentiasa berhempas-pulas mencari jalan untuk buat duit dari poket orang susah.
Memang syarikat ini hebat bermain dengan perniagaan keberangkalian berlaku risiko.
Hasilnya selalunya mendapat untung daripada berlaku atau tidak berlakunya risiko tersebut. Ada ke syarikat insuran yang bangkrap kerana tuntutan melebihi pendapatan?
Bila sesuatu keberangkalian risiko sudah hampir pasti berlaku, kebiasaannya syarikat akan mengelak menjual produknya. Dulu bila skuad pemusnah bom nak diwujudkan di sebuah negara, tiada syarikat pun yang sanggup mengambil risikonya. Tapi ramaikah anggota skuad itu yang tercedera dan mati? Oleh itu hampir-hampir tiada risiko untuk menjalankan perniagaan risiko ini.
Kita faham bahawa syarikat insuran besar biasanya kroni BN/UMNO yang sudah berakar-umbi di negara kecil ini. Majoriti rakyat faham ini.
Nantilah kita tunjukkan rasa kurang puas hati kita melalui UNDI dalam pilihan raya umum. Kita hanya undi sesiapa saja yang mahu jadi kroni rakyat. Biar rakyat benar-benar merdeka di Malaysia Baru.
Kemerdekaan bermula dalam diri.
Tambahan: Memang Bank Negara Malaysia tidak membenarkan penanggung insurans memaksa pemilik kenderaan untuk membeli perlindungan insurans yang tidak diingini oleh pemilik kenderaan, sama ada perlindungan Komprehensif mahupun Pihak Ketiga. Pemilik kenderaan yang menghadapi masalah ini bolehlah berhubung dengan Pusat Hubungan Bersepadu, Jabatan Komunikasi Korporat, Bank Negara Malaysia, KL.
Tetapi apabila syarikat takaful/penanggung insurans tidak lagi jual insuran/takaful Pihak Ketiga, apa yang boleh BNM buat untuk menolong majoriti rakyat? Mudahkan rakyat.
http://malaysia-baru.blogspot.com/2009/06/insuranstakaful-komprehensif-untuk.html
No comments:
Post a Comment