KAHERAH 28 Feb. – Bekas Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Mohamed ElBaradei (gambar) semalam menggesa Mesir supaya mendengar seruan rakyatnya yang menuntut perubahan, sebelum perasaan kecewa terhadap sistem politik lapuk di negara ini mencetuskan pergolakan yang tidak dapat dikawal.
Elbaradei, pemenang Hadiah Keamanan Nobel yang kini muncul sebagai pemimpin pembangkang di Mesir, menerima gelombang sokongan daripada golongan muda dan pejuang pembaharuan yang melihat beliau sebagai tokoh yang mampu mencabar Presiden Hosni Mubarak yang telah memerintah negara ini selama hampir 30 tahun.
Diplomat berusia 63 tahun itu, yang dihormati oleh masyarakat antarabangsa sewaktu mengetuai IAEA, masih membisu mengenai sebarang hasrat untuk merebut jawatan Presiden Mesir, sekadar berkata, gerakan pembaharuan secara besar-besaran perlu bertapak terlebih dahulu.
“Anda melihat betapa banyak sokongan yang ditunjukkan terhadap saya, sebelum saya menjejakkan kaki semula di Mesir lagi,” kata Elbaradei semasa wawancara dengan Associated Press (AP) di taman kediamannya di pinggir Kaherah.
Menurut beliau, sokongan tersebut menandakan rakyat sudah bersedia, malah dahaga untuk melihat perubahan.
“Bagaimanapun, gerakan perubahan perlu bertapak terlebih dahulu dan perlu merebak ke seluruh negara,” kata beliau.
Elbaradei yang tidak dicemari rasuah yang menular dalam kerajaan Mesir sekarang mengalihkan fokusnya terhadap menggalakkan pembaharuan sistem pilihan raya dan pindaan Perlembagaan yang akan membolehkan seorang calon berwibawa bertanding dalam pilihan raya Presiden pada tahun depan.
Beliau menemui pelbagai kumpulan di kediamannya sejak kembali ke Kaherah seminggu yang lalu selepas hampir tiga dekad berkhidmat di luar negara.
Antara mereka yang ditemui ialah wakil pertubuhan wanita dan belia yang melancarkan petisyen bagi menggesa beliau supaya bertanding. Lebih 100,000 orang menyertai kumpulan Facebook menyokong pencalonan Elbaradei.
Sekatan sekarang menghalang calon bebas atau calon parti baru daripada bertanding, bermakna peluang Elbaradei adalah tipis tanpa pindaan Perlembagaan yang sudah lama dituntut.
Penyokong berharap status beliau sebagai seorang tokoh antarabangsa akan membantu melindungi beliau daripada gangguan kerajaan yang selama ini menjadi antara faktor yang menyekat gerakan pembangkang sebelum ini daripada bertapak. – AP
Ulasan: Kerajaan lapuk memerlukan tentera dan polis untuk menyokongnya daripada di ambil alih oleh rakyat yang berfikiran lebih terbuka. Ya Allah kurniakan kerajaan baru yang lebih adil dan telus kepada rakyat Mesir.
No comments:
Post a Comment