DUN lulus usul tergempar
KOTA BHARU 1 Mac – Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini meluluskan usul tergempar untuk memberikan mandat kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Kelantan (MMK) bagi mengambil tindakan mahkamah berhubung tuntutan royalti minyak.
Usul tersebut dikemukakan oleh Abdullah Ya‘akub (Pas-Air Lanas) dan ia mendapat persetujuan sebulat suara 45 ahli termasuk anggota pembangkang walaupun hanya memerlukan sembilan sokongan daripada anggotanya untuk membahaskan usul berkenaan.
Antara enam anggota pembangkang yang menyokong usul tersebut ialah ketuanya, Datuk Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas), Datuk Abdul Aziz Derashid (BN-Kuala Balah), Mohd. Adhan Kechik (BN-Bukit Bunga) dan Mat Yusof Abdul Ghani (BN–Nenggiri).
Usul tersebut telah dibahaskan oleh lima Ahli Dewan Undangan Negeri iaitu Ketua Pembangkang, Datuk Md. Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas); Zulkifli Mamat (Pas-Pulai Chondong); Hanifa Ahmad (Pas-Pengkalan Pasir); Azami Mohd. Nor (Pas-Kadok), dan Nik Mazlan Mohamed (Pas-Gaal).
Terdahulu, Speaker DUN, Nasaruddin Daud berkata, selepas meneliti cadangan tersebut beliau mendapati ia memenuhi tiga syarat utama iaitu perkara yang tertentu dan mustahak, kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan.
Beliau kemudiannya meminta Abdullah untuk mengemukakan usul yang berbunyi:
“Bahawa DUN memberi mandat kepada MMK bagi pihak kerajaan negeri mengambil apa-apa tindakan mahkamah yang bersesuaian bagi mendapatkan bayaran tunai yang terhak kepada rakyat dan Kerajaan Kelantan mengikut perjanjian dan penyerahhakkan kuasa-kuasa petroleum sama ada di daratan atau di lautan negeri Kelantan yang ditandatangani pada 1975.
“Seperti mana kehendak undang-undang tunggal yang berkaitan dengan pengeluaran petroleum iaitu Akta Pembangunan Petroleum 1974, pada bila-bila masa yang difikirkan oleh kerajaan negeri.”
Ulasan: Dulu rakyat terpegun melihat keputusan mahkamah 5-0 mengenai politik Perak. Mari kita dengar keputusan mahkamah mengenai isu royalti Petronas dan Kelantan. Semoga para hakim dapat bertindak profesional dan mengutamakan keadilan dan ketelusan. Ada peluang rakyat nak lihat hajat Tun Abdul Razak dulu tercapai.
No comments:
Post a Comment