Wednesday, February 03, 2010

Seni Zapin Melayu Johor

JOHOR BAHRU 2 Feb. - Tarian Zapin Johor merupakan sejenis tarian Melayu tradisional yang dipercayai berasal dari Asia Barat atau lebih tepat wilayah Hadramaut di Yemen yang geraknya adalah cepat kerana tidak banyak bunga tari. 

Zapin Johor dikenali dalam dua bentuk iaitu Zapin Melayu serta Zapin Arab yang kedua-dua tarian ini memperlihatkan perbezaaan daripada segi unsur adaptasi meskipun berasal daripada kesenian Arab yang sama.

Kerancakan pembangunan seni tarian itu bermula pada zaman kebangkitan Kerajaan Johor-Riau-Lingga pada abad ke-16, selepas kejatuhan empayar Melaka sehingga abad ke-19 iaitu sehingga Perjanjian Inggeris-Belanda 1824.

Pada zaman tersebut orang Melayu di Johor seperti juga di Kepulauan Nusantara lain telah menghasilkan kesenian Zapin Melayu dengan iringan muzik gabungan Arab-Melayu seperti gambus, tambur dan marwas yang digabungkan bersama biola serta harmonium.

Selain itu, ia turut ditambah dengan nyanyian qasidah bersama pantun-pantun yang didendangkan dalam bentuk lagu dan ditarikan bersama gerak tari yang dicipta berdasarkan pergerakan asas Zapin Arab.

Seni Zapin Melayu yang khusus wujud apabila orang Melayu pada zaman itu memilih untuk terus berkarya dan menghayati hasil ciptaan mereka manakala orang-orang Arab yang berada di kepulauan Melayu terus mengekalkan tarian mereka.

Karyawan Jemputan Yayasan Warisan Johor, Profesor Dr. Mohd. Anis Mohd. Nor berkata, selepas era itu maka berlakulah satu fenomena luar biasa terhadap pembangunan kesenian Zapin Melayu.

Katanya, ini apabila orang-orang Melayu pada ketika itu terus memperkayakan gerak tari dan menambah baik komposisi muzik mereka sehingga berjaya mengangkat kesenian tersebut sehingga tahap yang sangat tinggi. 

Beliau memberitahu, Zapin Melayu kemudiannya terus berkembang jauh sehingga menjadi sebuah tradisi kesenian orang Melayu yang gemilang dengan segala nuansa Melayu yang padat dengan nilai-nilai kesenian Islam.

"Setiap ragam tari dan pecahan lantai Zapin Melayu dicipta dengan bersandarkan kepada pepatah Melayu serta alam sekitar yang kaya dengan pelbagai kiasan dan tunjuk ajar," katanya.

Mohd. Anis berkata, Zapin Melayu Johor sememangnya unik kerana ia memiliki pelbagai ragam tari yang tersendiri.

Struktur utama persembahan Zapin Melayu terbahagi kepada tiga bahagian utama iaitu Taksim, Ragam dan Kopak serta Wainab. 

Beliau berkata, Taksim adalah pembuka persembahan dan ia merupakan bahagian yang sangat istimewa kerana persembahan itu tertumpu kepada permainan gambus secara perseorangan. 

Kemudian ia disusuli dengan kemasukan para penari secara berpasangan dan akan duduk mencangkung di atas sebelah kaki dengan tangan diletakkan di atas lutut dan paha sambil tunduk hormat kepada penonton atau pemetik gambus sebelum berdiri tegak serta memulakan langkah persembahan.

"Dalam bentuk asal, para penari terdiri daripada lelaki keseluruhannya tetapi Zapin Melayu hari ini turut ditarikan oleh pasangan penari lelaki dan perempuan," katanya…

Ulasan: Asingkanlah penari berdasarkan jantinanya. Kalau bercampur ertinya kita menderhaka kepada agama kita sendiri. Biar pelajaran di sekolah agama Johor menjadi lampu hidup.

No comments: