KUALA LUMPUR 16 Feb. - Paras air di beberapa sungai dan empangan di seluruh negara dijangka mengalami penyusutan ekoran musim kemarau yang diramal berlarutan sehingga pertengahan bulan depan.
Bagaimanapun, penyusutan tersebut tidak akan menjejaskan penyaluran bekalan air bersih kepada para pengguna kerana paras air di empangan-empangan utama masih dalam keadaan terkawal.
Namun syarikat-syarikat bekalan air ketika dihubungi menasihatkan para pengguna supaya menggunakan air secara berhemat dan tidak melakukan pembaziran.
Di Seremban, bekalan air di Negeri Sembilan masih lagi terkawal walaupun paras air di beberapa empangan terutama loji rawatan air Pantai di sini mengalami sedikit penyusutan.
Pengurus Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (Sains), Azlan Abdul Aziz berkata, selain cuaca panas yang melanda negeri ini, kadar penggunaan air yang bertambah ketika musim perayaan menjadi faktor penyusutan paras air tersebut.
"Jadi Sains menasihatkan agar penduduk di negeri ini mengamalkan cara penggunaan air yang berhemat ketika menghadapi cuaca panas ini," kata beliau ketika dihubungi.
Kata Azlan, pihaknya juga akan sentiasa melakukan pemantauan dan tinjauan ke loji rawatan air di seluruh negeri ini dalam usaha mengelak sebarang masalah gangguan air.
Di Johor Bahru, paras air di beberapa sungai dan empangan di negeri ini dijangka terus mengalami penyusutan.
Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Syarikat Air Johor Holdings Sdn. Bhd. (SAJH), Jamaluddin Jamil berkata, bagaimanapun, bekalan air bersih yang disalurkan kepada pengguna di negeri ini setakat ini masih lagi terkawal.
Menurutnya, pada masa kini hanya penduduk di Kluang yang mendapat bekalan air dari Loji Rawatan Air Sembrong Timur dikenakan catuan sejak 13 Februari hingga 13 Mac depan sekiranya paras air di sungai itu tidak terus merosot.
"Bagi daerah lain, kita tidak menjangkakan sebarang masalah bekalan air memandangkan paras air di empangan masih tidak kritikal.
"Bagaimanapun, sekiranya orang ramai tidak menggunakan air dengan cara berhemat, tidak mustahil catuan terpaksa dilakukan," katanya.
Sementara itu di Ipoh, kerajaan Perak telah mengarahkan Lembaga Air Perak (LAP) supaya bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan bekalan air terjejas akibat kemarau yang melanda negara.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan awam, Tenaga dan Air negeri, Datuk Ramly Zahari berkata, langkah itu perlu sebagai persiapan awal LAP bagi menghadapi fenomena kemarau di Perak.
Menurut beliau, sungai-sungai yang menjadi sumber bekalan air juga akan sentiasa dipantau agar tidak berlakunya pencemaran air yang boleh memberikan kesan negatif kepada loji-loji takungan.
"Kita sudah bersiap sedia menghadapi musim kemarau dan tidak bimbang kerana mempunyai kapasiti simpanan air yang mencukupi.
"Air di beberapa loji takungan terbesar seperti loji di Hulu Kinta mampu membekalkan kapasiti air yang dirawat mencukupi bagi keperluan pengguna," katanya.
Di Melaka, Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) memberi jaminan bekalan air di ketiga-tiga empangan mencukupi untuk kegunaan lebih 750,000 penduduk di negeri itu bagi menghadapi fenomena musim kemarau yang melanda seluruh negara bermula Januari sehingga Mac ini.
Ketua Pegawai Eksekutif SAMB, Ir. Mohd. Khalid Nasir berkata, ketiga-tiga empangan air, iaitu Empangan Durian Tunggal, Empangan Asahan dan Empangan Jus mempunyai bekalan air melebihi 70 peratus.
Menurutnya, paras air di Empangan Durian Tunggal hari ini menunjukkan 72.8 peratus penuh, Empangan Jus, (74.7 peratus) manakala Empangan Asahan, 93.4 peratus .
"Penduduk juga tidak perlu bimbang tentang musim kemarau kerana ketiga-tiga empangan tidak semata-mata bergantung kepada air hujan, sebaliknya juga boleh disedut daripada pelbagai sumber air sungai terutamanya Sungai Muar.
Di Alor Setar pula, bekalan air termasuk untuk tujuan pengairan di tiga empangan di Kedah iaitu Ahning, Muda dan Pedu mencukupi bagi menampung keperluan penduduk biarpun kemarau dijangka berlarutan sehingga April.
Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Abdul Rahim Salleh berkata, sehingga kini air di ketiga-tiga empangan itu adalah sebanyak 900,000 kubik meter.
Sehingga April depan, bekalan air yang ada di tiga empangan tersebut dapat menampung keperluan pengguna domestik, industri dan pertanian.
Di Kuala Lumpur, paras air di loji Batu 11, Cheras telah mencatatkan sedikit penurunan tetapi keadaan tersebut tidak membimbangkan.
Pengarah Eksekutif Hal Ehwal Korporat Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) Abd. Halem Mat Som berkata, keadaan tersebut berpunca daripada cuaca panas berpanjangan yang bermula dari awal tahun ini.
"Walaupun catatan paras air dilihat tidak tinggi namun keadaan ini tidak akan menimbulkan masalah kepada penduduk yang menggunakan air dari loji tersebut,'' ujarnya.
Ulasan: Allah telah berfirmann dalam Quran, Surah Al Mulk, ayat 30, yang bermaksud: Katakanlah: "Terangkanlah kepadaku jika sumber air kamu menjadi kering; maka siapakah yang akan mendatangkan air yang mengalir bagimu?." Mari kita tinggalkan maksiat, memohon ampun kepadaNya dan berdoa kepadaNya.
No comments:
Post a Comment