WASHINGTON 8 Feb. - Mereka yang minum sekurang-kurangnya dua tin minuman soda seminggu menanggung risiko lebih tinggi menghidap kanser pankreas.
Satu kajian melibatkan lebih 60,000 orang di Singapura mendapati mereka yang kebanyakannya minum jus buah-buahan sebagai ganti minuman ringan tidak mengalami risiko yang sama.
Gula mungkin menjadi puncanya tetapi mereka yang kerap mengambil minuman soda selalunya mempunyai tabiat lain yang tidak baik untuk kesihatan, kata ketua kajian, Mark Pereira daripada Universiti Minnesota hari ini.
"Kandungan gula yang tinggi dalam minuman soda boleh meningkatkan paras insulin dalam badan dan kami berpendapat peningkatan paras insulin menyumbang kepada pertumbuhan sel kanser pankreas," menurut Pereira dalam satu kenyataan.
Insulin, sejenis hormon yang membantu badan menguraikan gula, dihasilkan dalam pankreas.
Pereira dan rakan-rakan yang menulis dalam jurnal Cancer Epidemiology Biomarkers & Prevention berkata, mereka mengikuti perkembangan kesihatan 60,524 lelaki dan wanita dalam Kajian Kesihatan Cina Singapura selama 14 tahun.
Dalam tempoh itu, 140 sukarelawan tersebut disahkan menghidapi kanser pankreas. Mereka yang minum sekurang-kurangnya dua tin minuman soda seminggu mengalami risiko 87 peratus lebih tinggi termasuk di kalangan pesakit kanser pankreas itu.
Kanser pankreas adalah antara jenis kanser yang paling berbahaya, dengan 230,000 kes dikesan di seluruh dunia. Di Amerika Syarikat (AS), 37,680 orang didiagnosis menghidapi kanser pankreas dalam setahun dan 34,290 meninggal dunia akibat penyakit itu.
Persatuan Kanser Amerika melaporkan, hanya kira-kira lima peratus pesakit kanser pankreas masih hidup lima tahun selepas mula didiagnosis. – Reuters
Ulasan: Kebanyakan penyakit berpunca daripada gaya hidup kita. Syarikat air soda buat untung tapi kita yang sekurang-kurangnya dua kali rugi: kena bayar waktu beli produk dan menderita kena kanser.
No comments:
Post a Comment