Palestin bantah negara Yahudi mahu baik pulih Masjid Ibrahim
Berpuluh-puluh remaja melontar batu ke arah pos kawalan tentera Israel sebelum dibalas dengan gas pemedih mata, bom pegun dan tembakan peluru getah. Sekolah dan premis perniagaan ditutup sebaik pengumuman mengenai bantahan dibuat.
Semalam, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu mahu Masjid Ibrahim di Hebron dan Kubah Rakhil di Baitullaham dimasukkan dalam rancangan AS$100 juta (RM340 juta) memulihara tapak warisan kebangsaan.
"Kami mengutuk keras keputusan ini yang sekali lagi mengesahkan sikap degil kerajaan Israel.
"Masyarakat antarabangsa digesa melabelkan keputusan ini sebagai tidak sah. Keputusan oleh Israel ini membangkitkan kemarahan orang Islam seluruh dunia terutama penduduk Palestin," kata ketua perunding Palestin, Saeb Erakat ketika dihubungi di Paris semasa menemani Presiden Mahmoud Abbas dalam lawatan rasmi.
Ketua Mahkamah Islam Palestin, Sheikh Taysir al-Tamimi menyifatkan keputusan itu 'sama dengan mengisytiharkan perang ke atas tapak suci Islam di Palestin'.
"Penjajahan Israel dan tindakannya ke atas tapak suci melanggar undang-undang agama dan antarabangsa," kata beliau dalam satu kenyataan.
Masjid Ibrahim di Hebron, lokasi Nabi Ibrahim dipercayai dimakamkan, dianggap di sisi Islam dan Yahudi namun menyaksikan pertikaian berpanjangan sejak lama dulu.
Beratus-ratus pendatang berfahaman keras Yahudi menetap di sini di bawah perlindungan tentera Israel dan menjadikan sebahagian kawasan Masjid Ibrahim sebagai tempat ibadat mereka.
Lebih 160,000 penduduk Palestin tinggal di Hebron, selepas tentera Yahudi berundur dari sebahagian kawasannya pada 1998.
Kubah Rakhil berada dalam kawasan jajahan Israel di Baitullaham, Tebing Barat dan dikelilingi tembok konkrit setinggi lapan meter.
Keputusan memasukkan kedua- dua tapak itu dalam rancangan 'pemuliharaan' dibuat pada saat akhir selepas protes daripada menteri-menteri pelampau kanan. Jurucakap kerajaan semalam menegaskan senarai melibatkan kira-kira 150 tapak belum muktamad. - AFP
Ulasan: Tak usah bersusah payah untuk menunjukkan kebaikan memulihara Masjid Ibrahim di Hebron dan Kubah Rakhil di Baitullaham kerana penjajah Israel adalah musuh rakyat Palestin. Sesungguhnya kita berbeza.
No comments:
Post a Comment