Baik pemimpin, baiklah orang dipimpin
LanH14
NEGARA dan rakyat kini ditimpa pelbagai masalah menakutkan. Jenayah seperti pembunuhan, perompakan, ragut, rogol, zina dan membuang bayi semakin menjadi-jadi. Daripada setinggi-tinggi jenayah berprofil tinggi termasuk kecurian enjin jet pejuang sehingga pembulian di sekolah, semuanya membimbangkan, membayangkan terlalu banyak perkara tidak beres dalam masyarakat kita.
Jenayah kejam yang tidak terfikirkan dulu seperti anak membunuh bapa dan anggota keluarga lain seperti tragedi di Gemenceh, perlu dimuhasabah; apa sebenarnya sudah menimpa masyarakat kita? Apa sebenarnya sudah berlaku kepada generasi muda yang kita didik di sekolah-sekolah kita hari ini?
Gejala songsang ini dan masalah sosial lain seperti penagihan dadah tidak ada penamatnya. Semakin kerajaan bertindak membendungnya, jenayah semakin menjadi-jadi, laksana mencurahkan minyak ke dalam api. Nasihat dan teguran tidak diendahkan, bagaikan mencurah air ke daun keladi.
Tentulah masyarakat tertanya-tanya mengapa hal ini terjadi. Di sini kita berharap masyarakat dapat membuka hati dan fikiran agar permasalahan ini dapat dilerai bersama. Bagi orang Islam beriman, ketidak barakahan dalam hidup ini adalah kerana undang-undang Islam tidak diguna pakai, sedangkan Allah SWT memberi jaminan bahawa dalam hukum-hakam-Nya ada kehidupan.
Apabila undang-undang Allah tidak terlaksana, porak-perandalah masyarakat. Pembunuhan, perompakan dan penzinaan semakin menjadi-jadi sedangkan mengikut hukum Allah, mereka yang bersalah perlu menjalani hukum hudud, qisas dan sebagainya. Apabila hukum Allah tertegak misalnya hukum membunuh dibalas bunuh mengikut hukum qisas, maka gentarlah setiap orang, lantas terselamatlah anggota masyarakat.
Berdasarkan hakikat tidak tertegaknya hukum-hakam Islam, terserlah bahawa apa yang berlaku dalam masyarakat hari ini adalah cerminan daripada sikap dan pembawaan pemimpinnya. Jika pemimpin mahu Islam, rakyat pun mahukan Islam; tetapi apabila pemimpin terus dengan cara Barat dan sekularnya maka rakyat akan mengikutinya.
Orang Melayu yang lemah lembut itu memeluk Islam kerana raja mereka berbuat demikian. Berlainan daripada wilayah dan rantau lain yang memerlukan kepada pembukaan negeri dan penaklukan, orang Melayu memeluk Islam selepas menyaksikan kemurnian pendakwah yang turut menarik minat raja-raja mereka.
Dari segi kepimpinan, pepatah Melayu menyatakan, bagaimana acuan begitulah kuihnya. Kalau hendak melentur buluh biar daripada rebungnya manakala bijak pandai pula berkata 'kalau nak tahu masa depan negara, lihatlah pada generasi mudanya'.
Demikianlah, kita percaya sebahagian daripada punca generasi muda kita semakin tidak terkawal adalah berdasarkan pembawaan pemimpin dan persekitaran yang begitu membingungkan.
Jika di rumah dan sekolah, segala keluhuran diterapkan tetapi apabila berada di luar, anak-anak hilang punca.Di luar sana pelbagai suasana negatif mereka saksikan dan hadapi. Misalnya, akhbar dan majalah lucah serta separuh lucah membanjiri pasaran.
Apabila menjenguk gerai-gerai majalah, kira-kira 80 peratus daripada bahan bacaan, memaparkan gambar-gambar wanita dalam aksi keterlaluan.Sebaliknya pula, amat kurang sekali bahan bacaan bermutu yang dapat menyuntik minda generasi muda. Demikian juga pengaruh media massa lain seperti televisyen dan radio. Dalam akhbar pun disiarkan keputusan judi (empat nombor ekor).
Jika dalam usia setahun jagung, anak-anak didedahkan dalam suasana kurang sihat, bagaimana mereka dapat membesar dalam keadaan bebas daripada gejala negatif?Di sini kita ingin bertanya, mengapakah Kementerian Dalam Negeri (KDN) begitu mudah memberi kebenaran kepada penerbit untuk mengeluarkan bahan-bahan yang boleh merosakkan masa depan generasi muda, seterusnya masyarakat dan negara?
Generasi muda juga mendambakan idola tetapi yang menjadi tumpuan adalah artis-artis dan dunia hiburan yang kerap benar terpesong daripada sempadan tuntutan agama.
Sekali lagi generasi muda gagal mendapatkan contoh baik sebaliknya mereka terikut-ikut gaya penghidupan songsang. Siapa yang membenarkan cara hidup ini kalau bukan pemimpin? Merekalah yang meluluskan lesen, merekalah yang menguatkuasakan undang-undang, merekalah menunjukkan contoh, jadi mereka sewajarlah memikul tanggungjawab paling besar dalam pendidikan dan masa depan anak bangsa.
Sebagai contoh mudah, mengapa pemimpin menunjukkan contoh buruk dalam mengadakan majlis perkahwinan. Mereka mengadakan majlis yang bagaikan di kayangan, maka masyarakat mencontohinya; anak-anak gadis hanya boleh disunting dengan wang hantaran paling kurang RM10,000; jadi bagaimana anak-anak muda dapat berkahwin dengan segera. Maka berlakulah pelbagai keburukan dalam masyarakat; ini gara-gara pemimpin menunjukkan contoh buruk.
Pemimpin mempunyai tanggungjawab besar dalam menentukan masa depan generasi muda. Tetapi apakah pemimpin hari ini dapat dijadikan rujukan yang baik kepada anak-anak? Jawapannya adalah ya dan tidak.
Hari ini banyak pemimpin terpalit dengan perlakukan buruk, ada yang dituduh melakukan pembunuhan, tidak kurang juga didapati bersalah oleh lembaga disiplin parti melalukan politik wang (rasuah) tetapi masih terus memimpin negeri dan negara.
Ini sekali gus menanamkan pandangan negatif di kalangan anak-anak kononnya tidak salah melakukan aneka jenayah ini kerana mereka yang terbabit terus disanjung dan diberi peluang memimpin masyarakat, malah negeri dan negara.
Pemimpin sewajarnya bukan saja bersih tetapi dilihat bersih. Tetapi ramai memperlihatkan watak dan tindakan yang tidak sejajar dengan pandangan dan nasihat yang mereka berikan. Sebagai contoh seorang pemimpin bercakap berapi-api mengenai keburukan amalan rasuah di pentas orang ramai, tetapi dialah juara politik wang, jadi bolehkah dia menjadi idola generasi muda?
Sementara itu jika pemimpin gemar dengan agenda berfoya-foya dengan pesta yang tidak pernah habis-habis seperti yang kerap berlaku di negara kita, maka tidak hairanlah generasi muda akan terikut sama.
Kata orang, bapa borek anak rintik, kalau guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari! Kalau pemimpin sesat maka anak murid pun akan sesat. Oleh itu, wahai pemimpin, kembalilah ke pangkal jalan, agar anak bangsa tidak sesat dulu, kini dan selamanya!
Ulasan: Harapkan guru mengasuh pelajar jadi baik, menteri-menteri lain bagaimana?
No comments:
Post a Comment