KUALA LUMPUR 1 Feb. – Kerajaan sedang mempertimbangkan secara serius untuk mensyaratkan semua calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lulus subjek Bahasa Inggeris.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu selari dengan tumpuan kerajaan untuk meningkatkan penguasaan bahasa tersebut di kalangan pelajar mulai tahun depan.
“Langkah mewajibkan calon SPM lulus Bahasa Inggeris sebagai syarat mendapat sijil sedang dipertimbangkan secara serius dan kita akan umumkan apabila sampai masanya nanti.
“Apabila dilaksanakan, pelajar akan beri perhatian yang lebih dan takkanlah mereka yang sudah belajar belasan tahun sejak dari darjah satu menghadapi masalah untuk lulus,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan kerajaan bercadang mewajibkan kelulusan mata pelajaran Bahasa Inggeris dalam program Soal Jawab yang disiarkan secara langsung oleh TV3, di sini hari ini yang dikendalikan Datuk Manja Ismail.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi memberitahu, dasar mewajibkan calon SPM lulus Bahasa Inggeris kemungkinan akan dilaksanakan mulai 2012.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, usaha kerajaan untuk mewajibkan lulus Bahasa Inggeris tidak membebankan pelajar khususnya pelajar Melayu.
“Pelbagai penambahbaikan terutamanya dalam proses pengajaran dan pembelajaran subjek Bahasa Inggeris akan dibuat secara agresif mulai tahun depan.
“Oleh itu, saya tidak melihat semua pendekatan yang diambil kerajaan bakal membebankan pelajar khususnya kaum Melayu kerana syaratnya hanya lulus dan bukannya wajibkan kredit,” jelasnya….
Ulasan: Susah-payah Datuk Maharajalela dan seumpamanya melawan penjajah Inggeris. Rupanya UMNO masih lagi membanggakan bahasa penjajah.
No comments:
Post a Comment