Tuesday, February 23, 2010

Iran: Kami bukan musuh Islam serantau

TEHERAN 22 Feb. - Speaker Parlimen Iran, Ali Larijani menggambarkan Iran sebagai bahaya kepada kuasa-kuasa besar yang suka membuli dan bukan kepada negara-negara Islam serantau.

Larijani ketika berucap di Parlimen semalam memetik Pemimpin Tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei sebagai berkata, strategi Republik Islam ini adalah untuk bekerjasama dengan negara-negara Islam di rantau ini di samping membantu memupuk kestabilan dan keselamatan serantau.

Beliau mengucapkan tahniah kepada tentera Iran kerana kejayaannya baru-baru ini melancarkan kapal pemusnah Jamaran yang berkeupayaan tinggi di Teluk Parsi.

Kapal pemusnah pertama buatan tempatan itu dilancarkan pada Jumaat lalu dan menyertai tentera laut Iran dalam rondaan di perairan selatan Teluk Parsi.

Jamaran berukuran 94 meter panjang dengan berat lebih 1,500 tan itu dilengkapi torpedo dan radar elektronik.

Larijani turut mengulas tentang maklumat palsu yang disebarkan baru-baru ini mengenai program nuklear Iran.

Katanya, negara-negara tertentu di Barat cuba memperdayakan masyarakat dunia dengan mengalihkan fokus kepada laporan yang dibentangkan baru-baru ini oleh Ketua Pengarah baru Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengenai kegiatan nuklear Iran.

Kuasa-kuasa yang membuli patut menyedari mereka tidak boleh menewaskan negara Iran menerusi perbuatan jahat sedemikian, ujar Larijani lagi.

Beliau menegaskan, rakyat Iran akan terus melangkah mengikut jalan yang mereka pilih dan musuh bakal berdepan tentangan sengit daripada rakyat Iran yang memperjuangkan hak mereka yang sah. 

Ketua Pengarah IAEA, Yukiya Amano dalam laporan pertamanya kepada lembaga gabenor agensi itu pada Khamis lalu melahirkan kebimbangan bahawa Iran mungkin dalam usaha untuk membina peluru berpandu nuklear.

Pegawai Teheran menyangkal dakwaan itu dan Khamenei pada Jumaat lepas menafikan Iran mahu membina senjata nuklear. – BERNAMA

Ulasan: Negara Barat mahu  supaya kita selamanya hina dan menyerah kepada kekuatan tentera mereka. Apakah guna kita menjadi negara merdeka dan berdaulat?

No comments: