Thursday, February 11, 2010

Air hampiri paras kritikal

JOHOR BAHRU 10 Feb. - Paras air mentah di beberapa muka sauk iaitu lokasi sumber air termasuk empangan di negeri ini menghampiri paras kritikal berikutan cuaca kering sejak sebulan lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif SAJ Holding Sdn. Bhd., (SAJH), Abdul Wahab Abdul Hamid berkata, paras air mentah di muka sauk di seluruh negeri ini mencatatkan penyusutan dari paras normal dan sebahagiannya sudah menghampiri paras kritikal.

Antara lokasi yang airnya semakin susut adalah Empangan Congok, Mersing; Empangan Bekuk, Yong Peng dan Sungai Sembrong Timur.

Sehubungan itu, orang ramai di negeri ini diingatkan supaya menggunakan air secara berhemah bagi memastikan bekalan air dapat bertahan lama.

"Pihak SAJH memantau secara terperinci perkembangan ini sambil mempertingkatkan usaha-usaha operasi bekalan air agar dapat diagihkan secukupnya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun, setakat ini pengeluaran air terawat daripada 42 loji rawatan di negeri ini dilaporkan masih dalam kapasiti pengeluaran yang normal.

Orang ramai yang menghadapi masalah dan memerlukan bantuan boleh menghubungi Pusat Info SAJH yang beroperasi 24 jam di talian 1-800-88-7474 atau menghubungi khidmat pesanan ringkas ke 019-7727474 atau e-mel ke customer.care@saj.com.my.

Ulasan: Firman Allah dalam Surah Al Mulk ayat 30, yang bermaksud: Katakanlah: "Terangkanlah kepadaku jika sumber air kamu menjadi kering; maka siapakah yang akan mendatangkan air yang mengalir bagimu?" 

No comments: