Wednesday, February 17, 2010

Seks bebas remaja luar bandar membimbangkan

KUALA LUMPUR 16 Feb. 2010 - Masalah sosial seperti seks bebas kebiasaannya dihubungkaitkan dengan para remaja yang tinggal di bandar-bandar besar yang sentiasa terdedah kepada gejala itu.

Kajian sebuah pertubuhan baru-baru ini mendapati gejala seks bebas termasuk pendedahan kepada bahan pornografi di kalangan remaja Melayu di luar bandar juga semakin membimbangkan.

Kesimpulan itu diperoleh Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah selepas menjalankan kajian terhadap 127 pelajar perempuan di sebuah sekolah luar bandar di negeri tersebut.

Naib Pengerusi GPMS Kedah, Lukman Midin berkata, kajian itu mendapati lima peratus daripada remaja berusia 14 tahun di sekolah itu telah melakukan hubungan seks secara sukarela.

"Manakala, 30 peratus daripada responden pula mengakui sudah terdedah kepada bahan pornografi atau unsur seks melalui telefon bimbit dan cakera padat video (VCD)," katanya.

Katanya, kajian terhadap 56 pelajar lelaki tingkatan satu pula mendapati 43 peratus daripada mereka terdedah kepada filem lucah, manakala 61 peratus daripada 67 pelajar lelaki tingkatan dua pula didapati telah menonton dan terdedah kepada gejala seks bebas.

Melihatkan peratusan tersebut, beliau berkata, keputusan kajian pastinya akan lebih menggerunkan jika ia dilakukan terhadap remaja Melayu berusia 16 tahun dan ke atas terutama yang tinggal di kota besar.

"Keadaan ini bukan sahaja memalukan malah menjadi antara punca berlakunya kes pembuangan bayi yang begitu berleluasa kebelakangan ini," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Menurut Lukman, bahan pornografi yang terlalu mudah dibeli dan diakses menjadi punca utama gejala seks bebas semakin membimbangkan di kalangan remaja Melayu.

Katanya, era multimedia dan teknologi maklumat dengan trend penggunaan telefon bimbit yang berleluasa serta penjualan video lucah di tempat terbuka dan boleh dibeli oleh sesiapa tanpa mengira usia nyata meruncingkan lagi masalah tersebut.

Ulasan: Kenapakah kita hanya mengambil sampah dari kemajuan yang ada? Itulah yang berlaku bila kita mengetepikan agama Islam sebagai satu-satunya satu hidup yang akan membawa kepada kejayaan dan kebahagiaan di dunia ini dan dan di akhirat. Kerajaan Pusat pun sewajarnya bertindak selaras dengan kekuatan yang dimiliki olehnya untuk mencegah kemungkaran. Tapi apakah kerajaan Pusat, kerajaan negeri dan agensi kerajaan benar-benar mencegah kemungkaran yang boleh menyebabkan zina?

No comments: