Wednesday, February 17, 2010

Maksiat: Rakyat mesti buat perubahan dalam pilihan raya nanti

MELAKA, 12 Feb: Rakyat mesti membuat perubahan dalam pilihan raya umum akan datang kerana jelas kerajaan Barisan Nasional (BN) gagal menangani gejala maksiat termasuk pembuangan bayi yang semakin berleluasa sekarang.

Ketua Penerangan PAS negeri, Sofi Wahab berkata, rakyat negeri ini juga bertanggungjawab terhadap gejala maksiat yang berlaku itu kerana memilih kerajaan BN yang seolah-olah memandang sebelah mata akan hal itu.

“Kita bimbang dengan statistik yang dikeluarkan oleh jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) baru-baru ini yang menyatakan bahawa 393 anak luar nikah dilahirkan di Melaka tahun 2009 dan 388 pada tahun 2008.

“Apakah kerajaan ini ingin terus membiarkan perzinaan dan dosa besar ini terus berleluasa,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Begitupun beliau bersetuju dengan kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang menyifatkan insiden penemuan mayat bayi perempuan di tepi pintu pagar Masjid Jamek Permatang Duyong, di sini kelmarin sebagai amat mendukacitakan.

“Namun saya mengharapkan kerajaan negeri bukan setakat memberi cadangan supaya anak-anak malang sebegini dihantar ke rumah kebajikan tetapi yang lebih penting mencari punca sebenar mengapa bertambahnya anak-anak luar nikah bertambah di negeri ini saban tahun,” ujarnya.

Katanya, kerajaan negeri yang berkuasa mesti mengambil tindakan serius bagi mengurang dan membasmi perbuatan dosa besar iti di mana punca-punca maksiat yang mungkin menjadi pendorong kepada zina mesti ditutup dan dihentikan.

Di Melaka, ujarnya terlampau banyak pusat maksiat seperti premis-premis pelacuran, kelab-kelab malam, pub, dangdut dan sebagainya di samping tempat rekreasi seperti pantai, air terjun, taman-taman dan sebagainya menjadi tempat anak-anak muda berdua-duaan tanpa segan-silu.

Selain itu, katanya rumah-rumah urut bercambah dengan banyak, program-program maksiat iaitu percampuran lelaki dan wanita juga sentiasa diadakan malah ianya dianjurkan sendiri oleh kerajaan negeri dan agensi-agensi kerajaan negeri.

Justeru, katanya sudah sampai masanya kerajaan negeri menutup segala tempat-tempat maksiat yang menjadi tempat merebaknya mukaddimah zina dan seterusnya perzinaan.
dari:Harakahdaily  

Ulasan: Mari kita bersama-masa mencegah kemungkaran yang ada di sekeliling kita.
Kerajaan pusat dan kerajaan negeri dan agensi-agensi sepatutnya membenci dan benar-benar dilihat maksiat.

No comments: