WASHINGTON 2 Feb. - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama akan mengunjungi Indonesia bersama keluarganya bulan depan, dalam satu lawatan penuh nostalgia ke negara yang pernah menjadi tempat tinggalnya selama empat tahun semasa kanak-kanak, demikian menurut White House semalam.
Jurucakap White House, Robert Gibbs berkata, Obama yang menggelarkan dirinya sebagai 'Presiden Pasifik Amerika Pertama' kerana lahir di Hawaii dan pernah tinggal di Indonesia, juga dijadual ke Australia dalam kunjungannya kali ini.
Gibbs memaklumkan, di Indonesia, Presiden itu dijangka melancarkan satu perkongsian AS-Indonesia, bertujuan memperluas serta memperkukuh hubungan antara AS dengan negara yang mempunyai jumlah penduduk Islam terbesar dunia tersebut.
Menurut Gibbs, semasa kunjungannya pada minggu kedua bulan Mac, Obama turut dijadual ke Pulau Guam, di mana beliau akan mengadakan perbincangan dengan anggota tentera AS, selain mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Kevin Rudd di Australia bagi berbincang tentang pemulihan ekonomi global, perang di Afghanistan dan perubahan iklim.
Sementara itu, Indonesia dalam reaksinya berhubung kunjungan Obama berharap, Presiden AS itu akan membawa keseimbangan baru kepada hubungan antara dua negara tersebut.
Dino Patti Djalal, jurucakap Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono berkata, kunjungan tersebut merupakan satu peluang untuk Obama mewujudkan ikatan yang lebih 'seimbang' serta hubungan penting.
Beliau turut mengkritik Presiden-Presiden AS sebelum ini yang terlalu menumpukan kepada prinsip-prinsip demokrasi serta hak kemanusiaan sehingga menjejaskan isu-isu lebih praktikal berkaitan kepentingan bersama.
"Kami mahu hubungan antara Indonesia-AS bukan meliputi hanya satu isu. Sebelum ini wujud ketidakseimbangan di mana hanya perkara berkaitan demokrasi dan hak kemanusiaan diutamakan.
"Kami mahu hubungan ini diseimbangkan merangkumi perdagangan, ekonomi, sains dan teknologi, kesihatan serta isu-isu lain. Perkongsian yang seimbang ini akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak," kata Dino.
Jakarta dan Washington memaklumkan, kedua-dua pihak sedang mengkaji untuk mengumumkan satu 'perkongsian strategik' semasa lawatan tersebut, namun butirannya masih belum dikeluarkan. - REUTERS/ AFP
Ulasan: Maka akan menggigillah anak kucing mengadap singa kecuali kalau benar-benar merdeka zahir batin. Jarang boleh ditemui pemimpin dari dunia ketiga seperti Presiden Iran Ahmadinejad.
No comments:
Post a Comment