SRI AMAN: Datuk Seri Najib Razak menyerahkan kepada rakyat untuk menentukan nasib Barisan Nasional (BN) dan Umno pada pilihan raya umum akan datang, kerana yakin rakyat boleh membezakan antara politik retorik dan politik realiti.
“Saya menyerah kepada rakyat. Saya tak dabik dada, cakap besar dan mendakwa boleh menang besar. Apa yang penting kita mesti bersikap rendah diri, bukan cakap besar.
“Apa yang penting kita nak buat kerja untuk rakyat... itu lebih utama dan saya akan membuat tumpuan kepada membuat kerja untuk membela rakyat walau di mana saja,” kata Perdana Menteri pada sidang media selepas merasmikan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) di Rumah Radin, Lachau Ulu, Lachau di sini, semalam.
Projek bernilai RM5.8 juta itu memberi manfaat kepada 1,900 penduduk dari 13 perkampungan dan rumah panjang. Ia membabitkan pembinaan jarak talian voltan tinggi sejauh 18.67 kilometer dan jarak talian voltan rendah 13.25 kilometer.
Hadir sama Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud; dua timbalannya, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam dan Tan Sri Alfred Jabu Numpang serta Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Ulasan: Untuk mahukan rakyat memilih kerajaan yang terbaik eloklah berikan peluang yang sama kepada Pakatan Rakyat untuk bersuara secara bebas dan adil. Juga kalau mengikut amalan BN selama ini kontraktor yang mendapat projek-projek kerajaan BN adalah kroni pimpinan BN. Jangan hanya nampak seolah-olah sibuk kerja untuk membela rakyat tetapi sebenarnya membantu kroni.
No comments:
Post a Comment